Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10 - 12 April 2007 telah membincangkan Hukum Khatan Bagi Pesakit Heamophilia Dan Kanak-Kanak Cacat Akal. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
- Pesakit heamophilia tidak diwajibkan berkhatan kerana proses khatan boleh membawa mudharat kepada pesakit. Walau bagaimanapun, aspek taharah bagi pesakit heamophilia perlu dipelajari dan diberi perhatian khusus oleh pesakit berkenaan untuk memastikan kesempurnaan bersuci dan kesahihan ibadah.
- Bagi kanak-kanak yang cacat akal, kewajipan berkhatan adalah bergantung kepada tahap kecacatan otak yang dialaminya. Gugur semua kewajipan melaksanakan ibadat termasuk berkhatan ke atas kanak-kanak yang mengalami kecacatan otak yang teruk. Ahli keluarga kanak-kanak berkenaan perlu memastikan kebersihan anggota kanak-kanak tersebut dijaga dengan baik.
Keterangan/Hujah:
- Haemophilia adalah penyakit yang melibatkan kegagalan fungsi darah di mana darah pesakit tidak dapat membeku secara normal disebabkan kekurangan faktor pembeku dalam darah (clothing factor). Pakar perubatan belum menemui ubat bagi merawat penyakit warisan (genetic) ini dan pesakit akan menderita sepanjang hayat. Pesakit heamophilia akan mudah mengalami pendarahan walaupun hanya berpunca daripada kecederaan kecil seperti pendarahan dalam sendi tulang, pendarahan hidung bahkan pendarahan dalam otak.
- Menurut fuqaha’ sebarang penyakit termasuk penyakit keturunan adalah perlu dihindari, dirawat dan diubati. Dalam konteks ini prinsip pencegahan (al-wiqayah khairun minal ‘ilaj ; mencegah lebih baik dari mengubat) daripada sebarang bentuk gejala yang menjejaskan kesihatan menjadi pegangan. Ia selaras dengan tujuan syariat Islam (maqasid al-syari’ah) yang pada asasnya untuk menjaga lima perkara utama iaitu memelihara agama, nyawa, harta, akal, dan keturunan. Atas asas ini juga hukum taklif hanya ditujukan kepada orang Islam yang memenuhi syarat untuk melaksanakan ibadat.
- Beberapa kaedah fiqhiyyah boleh dikaitkan dengan kelonggaran yang wajar diberi kepada kedua-dua golongan dan kekecualian daripada melaksanakan amalan berkhatan iaitu:
لا ضرر ولا ضرار
Maksudnya: Tidak ada kemudharatan dan tidak memudharatkan.
sans-serif">الضرورات تبيح المحظورات
Maksudnya: Dharurat boleh menghapuskan larangan
الضرر يزال.
Maksudnya: Kemudharatan hendaklah dihapuskan
- Heamophilia merupakan sejenis penyakit di mana aliran darah tidak dapat berhenti walaupun setelah dijahit. Penyakit ini sangat merbahaya dan boleh membawa maut.
- Mengikut prinsip Islam, penjagaan terhadap nyawa amat diutamakan dan sekiranya kewajipan berkhatan ini boleh mendatangkan mudharat kepada pesakit heamophilia, maka kewajipan tersebut digugurkan.
- Dalam semua kewajipan yang diwajibkan ke atas umat Islam, akal yang waras adalah antara syarat utama. Sekiranya seseorang itu mengalami cacat akal yang teruk atau gila, tiada taklif ke atas seseorang itu untuk melaksanakannya.
Keputusan Muzakarah Kebangsaan lain berkaitan:
No comments:
Post a Comment