Search This Blog

Thursday, 30 September 2010

Adab Berziarah Dan Bertamu





Salah satu amalan terpuji yang menjadi budaya besar-besaran umat Islam di negara ini ketika sambutan Idulfitri ialah amalan ziarah atau kunjung mengunjung satu sama lain. Amalan ini memberi manfaat yang amat besar dan faedah yang berguna dalam konteks persaudaraan dan perpaduan ummah. Amalan ziarah ini membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai, yang susah menjadi mudah dan sebagainya. Maka dengan amalan ziarah akan terbentuklah satu ikatan kasih sayang yang dapat mengeratkan sesama insan. Ini disebabkan asal keturunan manusia berpunca daripada ibubapa manusia yang sama iaitu Nabi Adam AS dan Hawa. Sebab itulah Islam mengajak manusia saling kenal mengenali antara satu sama lain, hormat-menghormati, saling kerjasama dan faham –memahami sesama insan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 10:

Maksudnya : "Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.

Islam adalah satu agama yang mempunyai sistem cara hidup yang sempurna merangkumi bidang politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Betapa Islam agama yang sempurna maka ketika mengadakan ziarah, bertetamu dan makan pun mempunyai adab-adab tertentu. Adab-adab yang ditetapkan ini melambangkan tamadun, keperibadian dan tama’ninah seseorang. Berdasarkan ayat al-Quran dan amalan Rasulullah SAW, antara peraturan dan adab yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam ketika berziarah dan bertetamu ialah:

Pertama: Sebagai tetamu mestilah berniat baik di atas kunjungannya. Kedua: Jangan dibezakan antara orang kaya dan miskin ketika membuat jemputan. Ketiga: Hendaklah jangan ditolak sesuatu undangan hanya semata-mata berpuasa sunat, sebaliknya terimalah undangan dan hendaklah berbuka kerana untuk menimbulkan kegembiraan dipihak yang membuat undangan. Keempat: Hendaklah menolak undangan di mana makanan yang dihidangkan itu terdapat syubhat dan terdapat aktiviti munkar atau orang yang mengundang itu bersifat fasik, zalim atau suka membesar diri. Hadith Rasulullah SAW:

Maksudnya : "Janganlah engkau makan melainkan makanan orang yang bertakwa dan jangan pula makan makananmu itu melainkan yang membawa kepada takwa.(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Kelima: Semasa berkunjung hendaklah memilih waktu yang sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu itu pihak tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga. Keenam: Perlu memohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi. Ketujuh: Selaku tetamu adalah sangat digalakkan agar berjabat tangan dengan tuan rumah sebagaimana dengan hadith Nabi SAW riwayat dari al Barra’ RA yang bermaksud “ Tidak ada dua orang muslim yang bertemu,lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah”.

Walaubagaimanapun amalan berjabat tangan ini mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam. Kelapan: Sebagai tetamu juga tidak sepatutnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah. Kesembilan: Menjaga mata, jangan mencuri dengar atau mengintai tuan rumah, janganlah mengangkat suara semasa berada di dalam rumah dan jangan duduk lama ketika berziaarah.

Manakala bagi pihak tuan rumah, agama Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara dan dihayati oleh tuan rumah antaranya dengan menghormati dan memuliakan tetamunya. Dalam masa yang sama, tuan rumah juga disarankan agar menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan. Janganlah ada maksud untuk berbangga-bangga tetapi tujuannya adalah untuk merapatkan seluruh kawan serta memberikan kegembiraan dalam jiwa tetamu. Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para Nabi dan Rasul terdahulu.

Satu lagi adab penting yang ada kaitan dengan ziarah ialah menjaga adab makan-minum. Adab-adab makan yang diajar oleh Rasulullah SAW ialah Pertama: Memulakan makan dengan membaca Bismillah. Kedua: Mengakhiri makan dengan bacaan Alhamdulillah. ketiga: Makan dengan menggunakan tiga jari kanan keempat: Menjilat jari jemari sebelum mencuci tangan kelima: Tidak meniup makanan yang masih panas, keenam: Menghindari diri dari kenyang yang melampau batas. Ketujuh: Memulakan makan dengan mengambil makanan yang dekat dengan kita. Kelapan: Sewaktu makan, janganlah berdiam diri sahaja, tetapi bolehlah bercakap perkara yang baik-baik.

Demikian juga apabila kita minum, jangan minum seperti unta minum yang meminum air sekali gus, minumlah seteguk demi seteguk. Cara minum yang terbaik ialah jangan minum air banyak ketika makan kecuali terlalu dahaga atau tercekik, jangan bersendawa atau bernafas dalam gelas ketika minum.

Sebagai kesimpulan marilah kita membimbing ahli-ahli keluarga kita agar menjaga adab-adab menjemput dan melayan tetamu, adab-adab berziarah, dan adab makan minum supaya kita menjadi insan yang bertamadun, berperibadi tinggi dan memiliki sifat tama’ninah dan tingkahlaku kita tidak menjadi bahan ketawa orang lain serta menjatuhkan maruah. Ambillah kesempatan pada bulan yang mulia ini untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama kita. Sebagai peringatan marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 53:

Maksudnya : " Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi, kecuali kamu diizin untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah; kemudian setelah kamu makan maka hendaklah kamu bersurai dan janganlah dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu mengganggu Nabi sehingga ia merasa malu kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran.





Gambar : Sekitar Jamuan Hari Raya Persatuan Asyraaf Cawangan Pekan bersama Prof Datuk Syed Omar b Syed Mohamad Al Saggaf - Presiden Asyraaf Malaysia / Merangkap Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...