Search This Blog

Monday 26 July 2010

Sejarah Muzium Sultan Abu Bakar Pekan Bandar DiRaja


Di suatu perjumpaan dengan orang ramai di Pekan, masa banjir besar 1970, Tun Haji Abdul Razak telah menyatakan bahawa telah sepatutnya Pahang mengadakan sebuah Muzium untuk mengisi dan mempamirkan barang-barang budaya / sejarah yang masih boleh didapati di Pahang. Pada 30.11.1974 Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang telah di minta mengkaji suatu kertas mesyuarat berkenaan dengan penubuhan sebuah Muzium dan mesyuarat itu bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja, dengan dipengerusikan oleh YB. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, untuk menjadikan Istana Kota Beram sebagai Muzium Negeri dan mencadangkan Muzium itu dinamakan Muzium Sultan Abu Bakar.

Enekman yang digubal oleh Jawatakuasa itu telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri dan diwartakan sebagai Enakmen bil. 1/1975 pada 14 Ogos 1975. Dengan berpandukan enakmen ini maka Kerajaan Pahang telah menubuhkan sebuah Lembaga yang diberi nama Lembaga Muzium Negeri Pahang. Pada 26 Ogos 1975, YAB Menteri Besar Pahang, dengan rasminya menyerahkan sijil perlantikan ahli-ahli Lembaga Muzium Negeri Pahang dengan Tuan Haji Mokhtar bin Haji Mohd Daud sebagai pengerusinya.

Dari masa itu maka mulalah Lembaga itu menjalankan urusan mendapatkan kakitangan, membaiki Istana Kota Beram dan mendapatkan barang-barang yang berunsurkan kebudayaan dan sejarah, untuk mengisi Istana Kota Beram. Kerajaan Negeri Pahang memilih Istana Kota Beram sebagai bangunan Muzium ialah kerana bangunan ini adalah sebuah bangunan yang di dirikan di suatu tapak yang bersejarah.

Berpandukan kepada Sejarah Pahang karangan Dr. Linehan, JMBRAS 1938, iaitu selepas Majapahit hingga 1454 Pahang (Inderapura) ditakluki Siam. Apa yang diceritakan oleh orang tua-tua, termasuklah Tok Bijaya Di Raja, Syed Ahmad Abdullah bahawa kawasan Pekan Baru dan Pekan Lama itu pada mulanya setanah. Akan tetapi mengurangkan air Paya Sesiur (Kawasan Padang Polo) dan Paya Ara maka orang-orang Siam telah membuka sebuah parit.

Parit yang pada suatu masa dahulu dikenali sebagai Parit Siam ialah Sungai Parit yang ada sekarang. Dengan pembenaan parit itu maka jadilah kawasan diantara tebing kanan Sungai Parit dengan tebing kira Sungai Air Hitam dan diantara Ulu Sungai Air Hitam dari Ulu sungai Parit dengan tebing kanan Sungai Pahang sebagai sebuah Pulau. Disebabkan air Sungai Parit itu kemerah-merahan atau beram (mengikut kamus karangan R.J.Wilkinson beram = biram (1. gajah 2. merah), maka pulau itu di panggil orang sebagai Pulau Beram.

Pada mulanya alor yang menyambung Ulu Sungai Air Hitam dengan Ulu Sungai Parit itu dibersihkan. Mengikut ceritanya, orang-orang berkayuh perahu sampan muat bertiga dapat mengeliling pulau itu dalam masa 3 jam, akan tetapi untuk menjimatkan belanja kerana Perang German maka dalam tahun 1915 Jabatan Taliair di bawah jagaan Jabatan Kerja Raya yang dikenali sebagai "Hydraulic Branch of the Public Works Department" telah memberhentikan usaha menjaga alor tersebut. Lama kelamaan alor itu kapus dan Pulau Beram tinggal namanya sahaja.

Mengikut Sejarah Melayu pula iaitu Sultan Abdul Jamil telah ditunangkan dengan Tun Teja. Akan tetapi Tun Teja tunang baginda telah dilarikan oleh Laksamana Hang Nadim (ada yang mengatakan Hang Tuah) ke Melaka. Sultan Abdul Jamil terlalu murka lalu baginda menunggang gajah (beram) bernama Kepenyang dan melanggar tiang Balairong Istana baginda. Mengikut ceritanya kemudian daripada itu istana, yang berkota itu, di panggil Kota Beram.

Hingga bilakah kawsan ini digunakan sebagai kawasan istana tiada siapa yang ingat. Apa yang diketahui iatu pada kurun yang ke 19 sebagaimana yang dinyatakan oleh T.J. Newbold yang melawat Pahang dalam tahun 1828 di dalam bukunya, berjodol "Political dan Statistical Account of the British Empire in the Straits of Malacca", yang di cetak dalam tahun 1838 dan Munsyi Abdullah di dalam bukunya " Pelayaran Abdullah" bahawa pada masa mereka sampai itu Bendahara Pahang tinggal di sebelah kiri hilir Sungai Pahang. Kampung yang dikatakan oleh kedua orang penulis itu ialah Pulau Melana.

Apabila Sultan Ahmad memerintah Pahang baginda elah mendirkan istana di tebing kanan Sungai Pahang iaitu pada mula di kawasan Mesjid Abdullah. Perkara kawasan istana Sultan Ahmad ada dinyatakan oleh Hugh Clifford di dalam buku hariannya semasa ia datang mengadap Sultan Ahmad dalam bulan March/April 1887.

HughClifford datang ke Pahang kerana hendak mendapatkan persetujuan Sultan Ahmad membuat perjanjian persahabatan dengan Kerajaan Inggeris. Dengan persetujuan Sultan Ahmad suatu perjanjian telah ditanda-tangan dan pada 1 Julai 1889 J.P.Rodger dihantar bertugas sebagai Residen British di Pahang. Akan tetapi dari semenjak Ibu Negeri Pahang dipindahkan dari Pekan ke Kuala Lipis dalam tahun 1898 maka jadilah rumah yang dibina sebagai tempat kediaman Residen British itu sebagai bangunan tempat singgah Residen Inggeris apabila ia menjalankan urusannya di Pekan.

Dalam tahun 1929 rumah kayu dua lapis itu telah diganti degan sebuah rumah batu dua lapis. Masa Jepun rumah itu digunakan oleh Pegawai-pegawai Jepun.

Pada tahun 1948 rumah yang dibina untuk kegunaan pegawai-pegawai penjajah, yang didirikan di kawasan Istana Sultan-Sultan yang memerintah Pahang keturunan Melaka, telah diambil alih oleh DYMM Sultan Abu Bakar, sebagai menggantikan Istana Sri Terentang, dan dijadikan Istana Resmi baginda. Istana itu diberi gelaran "Istana Kota Beram". Dengan nama ini maka timbulah kembali nama yang telah lenyap berkurun-kurun itu.

Di Istana Kota Beram inilah DYMM Sultan Abu Bakar mengadakan mesyuarat dan juga menyambut ulang tahun hari keputeraan baginda. Akan tetapi disebabkan kawasan di dalam Istana Kota Beram itu terlalu sempit maka dalam tahun 1954 Kerajaan telah membena sebuah bangunan menyambung Istana Kota Beram. Rumah tambahan itu dipanggil sebagai Balairong.
Semenjak terbinanya Balairong itu maka semua mesyuarat dan upacara keraian menyambut ulang tahun hari keputeraan termasuklah Jubli Perak 1975 diadakan disitu. Akan tetapi mulai 5 Ogos 1959 bila Majlis Mesyuarat Kerajaan dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar yang dipilih maka Balairong itu tiadalah digunakan lagi sebagai tempat mesyuarat.

Di dalam hal yang demikian Kerajaan Pahang telah membena sebuah istana, yang sesuai untuk persemayaman Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, berhampiran dengan kawasan Istana Sri Terentang. Istana yang diberi nama Istana Abu Bakar siap dalam tahun 1965 dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar berangkat meninggalkan Istana Kota Beram.

Sebagai yang telah diperkenankan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan menjadikan Istana Kota Beram sebagai Muzium, maka pada 17 Mac 1976 Pejabat Lembaga Muzium Pahang telah dipindahkan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan ke Istana Kota Beram.


Denga limpah berkenaan KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustaiin Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al'muadzam Shah, Sultan dan Yang Di Pertuan Negeri Pahang merasmikan pembukaanya, pada hari Sabtu 21 Oktober 1976 bersamaan degnan 267 Syawal 1396H, maka jadilah Istana Kota Beram sebuah Muzium dengan gelaran Muzium Sultan Abu Bakar, tempat mengumpul dan mengabadikan warisan budaya datuk nenek kita untuk kita dan cucu-cicit kita di Negeri Pahang Darul Makmur ini.




















Pemandangan dari atas Masjid Sultan Abdullah













































Jambatan Sg. Parit (baru)
















Masjid Sultan Abdullah (1932)













Masjid Pekan (1914)


















Jambatan Sg. Parit









Istana Terentang









Rujukan :

1. Allahyarham Budayawan Dato' Haji Zakaria b Hitam.
2. Sejarah Pahang oleh W.Lineham, JMBRAS 1936
3. Sejarah Melayu
4. Sejarah Pahang - Haji Buyong Adil
5. Muzium Sultan Abu Bakar

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...