Search This Blog

Saturday 24 July 2010

Makam Nibong - Keluarga DiRaja Brunei

Diantara yang dikebumikan di Makam Nibong ini ialah keturunan Sultan Brunei yang berkahwin dengan Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Shah, Sultan Pahang yang ke-12, pada tahun 1584, sebelum dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang, baginda telah beristerikan seorang adinda kepada Raja Petani (raja perempuan) dan beristerikan juga seorang anak raja Brunei. Sultan Abdul Ghafur juga telah mengahwinkan adinda baginda Raja Ahmad (Sultan Pahang ke-12) dengan Puteri Bongsu Chendera Dewi, anak Raja Kasab Siak yang telah dijadikan anak angkat oleh baginda dan lahirlah Raja Mughal (Raja Mughal inilah kemudiannya, pada tahun 1641 menjadi Sultan Acheh bergelar Sultan Iskandar Thani) Seorang lagi isteri kepada anak Raja Brunei dipercayai anak Sultan Hasan dan melahirkan seorang anak perempuan kemudiannya bersuamikan Raja Abdullah Johor (Sultan Abdullah Ma'ayah Shah) berputerakan Raja Bajau. Dalam tahun 1612 masa Sultan Alauddin Riayat Shah III (Raja Mansur) memerintah Johor dan Sultan Abdul Ghafur di Pahang, Sultan Alauddin serta rombongan dari Johir telah berangkat ke Pahang kerana hendak mengahwinkan seorang daripada putera baginda dengan puteri Sultan Pahang. Dalam satu majlis, putera Raja Brunei menantu Sultan Pahang telah mempersilakan Sultan Johor pada jari tangan menantu Sultan Pahang itu ada sebentuk cincin mutiara yang besar dan sangat cantik rupanya . Sultan Johor sangat berkenaan kepada cincin itu dan meminta untuk membelinya dengan harga yang mahal, tetapi putera Raja Brunei itu tidak mahu menjualkan cincinnya itu. Sultan Johor sangat murka dan membawa orang baginda kembali ke Johor dan perkahwinan itu tidak jadi dilangsungkan.

Dalam bulan September 1612 angkatan perang Sultan Johor telah menyerang dan membakar kampung di Pahang dan juga membakar sebuah kampung yang bernama Kampung Cina, ramai rakyat Pahang telah mati terbunuh dan ditimpa malapetaka, harta benda mereka telah rosak binasa sehingga rakyat Pahang menderita kebuluran makanan. Sultan Pahang dan menantunya berundur kekawasan pergunungan yang mengandungi emas. Raja Brunei kekanda kepada isteri Sultan Pahang itu telah datang membawa angkatan perangnya dan telah berjaya memerangi dan menghalau angkatan Sultan Johor. Raja Brunei telah mengambil adiknya isteri Sultan Pahang itu dibawah balik ke Brunei, Sultan Pahang juga turut sama pergi ke Brunei dan telah meninggalkan putera sulung Raja Muda Abdullah menjalankan pemerintahan di Pahang. Dalam tahun 1614, Sultan Abdul Ghafur dan Raja Abdullah telah mangkat dibunoh oleh putera baginda yang kedua yang tiada diketahui namanya.







Nota :

Pada masa dahulu makam ini disebut Makam Tembuni. Batu Nesan yang terdapat di makam ini adalah hampir persamaannya dengan batu-batu Nesan di Ziarat Raja Raden. Menurut setengah-tengah ahli sejarah, mengatakan makam ini adalah makam Sultan Zainal Abidin (Sultan Pahang Ke-7), Sultan Mansur Shah (II) Sultan Pahang Ke-8 yang mangkat pada tahun 1560M. Makam Sultan Abdul Jamal (Sultan Pahang Ke-9) dan Sultan Abdul Kadir (Sultan Pahang Ke-10) yang mangkat pada tahun 1590M. (Sumber : Muzium Pahang)

Saya juga mendapat maklumat dari penduduk setempat, menyatakan ramai dari ahli keluarga Brunei yang datang menziarahi makam ini. Justeru itu, kepada yang mengetahui tentang makam ini mohon email kepada saya. Terima kasih.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...