Search This Blog

Thursday 29 July 2010

Kg Pmtg Pasir - Dimana Batu Nesan Kurun Ke 5H/10M Di Temui


Replika Batu Nesan Kurun Ke-5H/10M -
Yang asal di simpan di Muzium Sultan Abu Bakar



Di antara paya Pulau Jawa di sebelah barat dengan paya Kerdau di sebelah timur, Mukim Pekan Daerah Pekan, ada sebuah permatang. Disebabkan tanah di permatang itu, sebelum bah keruh 1896 dan bah besar 1926, cuma pasir seperti pasir di pantai laut sahaja, maka permatang itu pun diberi nama Permatang Pasir

Kampong Permatang Pasir, Mukim Pekan Pahang telah dibuka pada awal kurun yang ke-20, dan ada yang mengatakan ia dibuka dalam tahun 1910/1911. Pada masa membakar cerang di kawasan yang ditebas tebang peneroka-peneroka mendapati ada suatu kawasan yang tidak hangus dibakar, disana mereka dapati ada sepasang nesan tidak ada tulisan. Disebabkan kubur itu dijumpai mereka dekat tempat yang dikenali sebagai Teluk Cik Munah maka kawasan kubur itu dipanggil mereka "Keramat Teluk Cik Munah". Kejadian yang luar biasa itu tidak di hiraukan oleh penduduk kampung, akan tetapi dengan kehendak tuhan pada bulan puasa tahun 1953, semasa orang-orang menggali kubur, hendak mengebumikan jenazah seorang kanak-kanak perempuan, mereka terjumpa dengan nesan bertulis, nesan itu dikeluarkan dan didirikan di tempat yang dijumpai mereka. Kisah nesan bertulis yang dijumpai di Permatang Pasir itu dimuatkan oleh Dato' Sir Mahmud Mat dalam " The Malayan Historical Journal" Vol.2 Dec, 1955, No.2 akan tetapi tidak mendapat perhatian dari mana-mana pihak.

Namun perkara nesan bertulis ini telah dibangkitkan di Mesyuarat Jawatankusa Pameran Sempena Seminar Ulama Pahang ke-2 pada 6 Jun 1980. Perkara barang yang hendak dipamerkan dibincang dengan panjang lebar termasuklah batu nesan yang telah dimaklumkan oleh Haji Zakaria Hitam (Pak Zed) (Allahyarham Dato'). Encik Mohd Mokhtar b Abu Bakar (Dato') telah mengemukakan gambar-gambar batu nesan kepada beberapa orang ustaz yang hadir . Apabila terpandangkan gambar-gambar itu maka Ustaz Haji Abdul Wahab b Haji Abdullah ( Allahyarham Dato') menjelaskan bahawa pada pendapatnya apa yang tersurat pada salah sebuah batu nesan itu menunjukkan bahawa tarikhnya ialah tahun 419 Hijrah. Pak Zed telah
mencadangkan supaya ahli-ahli Jawatankuasa itu melihat sendiri tanah perkuburan di Permatang Pasir. Satu rombongan mengandungi Encik Mokhtar b Abu Bakar, Ustaz Haji Abdul Wahab b Haji Abdullah, Ustaz Haji Mohd Taib b Haji Hassan, Tuan Haji Mutalib Al-Fakhawi (Kadi Daerah Pekan) Tuan Haji Zakaria (Tabung Haji), Tok Muda Mohd Nor b Abu Bakar dan beberapa yang lain lagi.

Ustaz Haji Abdul Wahab tela
h ditugaskan menulis tafsiran ayat-ayat Al-Quran yang ditulis menggunakan khas Thulus. Dalam mesyuarat Jawatankuasa yang berlangsung pada 19 Ogos 1980 Ustaz Haji Abdul Wahab telah mengemukakan pendapatnya, bahawa hamba Allah yang dikebumikan di Permatang Pasir, Mukim Pekan Pahang itu wafat waktu subuh, Empat Belas Haribulan Rabie dalam tahun Empat dan Sembilan Belas Hijrah. Sekiranya itu betul maka telah ternyata bahawa hamba Allah ini telah wafat- apabila dikira dengan kasar perbezaan hari di antara tahun Hijrah yang berbeza sebanyak sebelas hari dari tahun Masehi, tidak termasuk kiraan tahun lompat dalam tahun 1028 Masehi. Mengikut pandangan Pak Zed, hamba Allah ini telah wafat dalam pelayaran atau pun kapal yang ditumpanginya itu singgah apabila didapati dia sakit dan apabila hamba Allah itu wafat jenazahnya dikebumikan diatas sebuah pulau atau tanjung yang dikenali sekarang sebagai Permatang Pasir. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan adanya suatu tempat dikenali sebagai Jong Berlabuh, zaman dahulu disini ada dijumpai orang bangkai sebuah perahu, tidak beberapa jauh dari tanah perkuburan ini. Dipercayai juga hamba Allah yang wafat ini adalah seorang yang terkemuka lagi dihormati maka selepas jenazahnya dikebumikan kapal yang ditumpanginya belayar pulang ke negerinya, masa itu barulah batu nesan itu diukir dan ditulis kemudian dibawa belayar dicacak di kubur hamba Allah di Permatang Pasir itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...