Semalam
kudengar nyaringnya ombak bernyanyi
kusangka itu lagunya mengulit tidurmu
seperti selalunya
kerana kutahu bahwa
cintamu berdua adalah angin dan musim
tetapi bila kutandangimu senja ini
rupanya kau terdampar dengan tenat
dalam tubuhmu berkecai-berai
kiranya dengung semalam bukannya nyanyian kasih
yang menemani tidurmu
hanyalah itu suatu perkosaan...
pantai
aku pun tahu
bagaimana hatimu yang parah terluka
juga rindumu yang punah terkulai
kini aku berdiri di sisi rebahmu
memandang dengan sedu yang terpendam
bersama kupeluk setiap tubuhmu yang berkecai
dengan hujung jari-jemariku
kerana aku pun sepertimu
saling dipermainkan waktu
dan aku hanya mampu bertanya kepada angin
bagaimana nasibmu malam nanti
kerana kekasihmu sudah berpaling arah...
pantai
kini aku pamitan
bersama kepedihan yang kurasai jua
(Mimpi Helang - Nur Ilham Ismalis)
No comments:
Post a Comment