Tiap hati yang kasih dapat merasa
atas tiap perbuatan dan ukiran kata
kerana ia sendiri di dalamnya dan mengerti
tiap kehidupan dan saat yang dilalui
bahawa kesepian pada kolam cinta berlebih-lebihan
ketika-ketika menenggelamkan apa jua pertimbangan
Dan ketika jiwamu berkocak kulihat riak
panas sampai ke puncak kuat ia menggelegak
dan bukan air mata akan menyiram menyamankan
tidak jua kebencian kerana meskipun sedikit
ia akan memagut tatah intan mahkota cinta
dan membenamkan hati kita ke lumpur siksa
Obat keramat hanyalah pandangan dan usapan kasih
bersama sebuah kucupan panas dari hati bersih
kerana inilah kasih sejati kita pertaruhkan di dasar kukuh
dalam perjalanan panjang kasih yang tidak pernah berlabuh
Sayang kesepian adalah musuh cinta yang utama
hadapi pertentangannya atas keyakinan kita bersama!
(Duri Dan Api -Usman Awang)
No comments:
Post a Comment