Search This Blog

Tuesday, 16 November 2010

Umat Islam Di Malaysia Perlu Banyak Bersyukur, Kata Najib



Datuk Seri Najib Tun Razak berkata umat Islam di negara ini perlu banyak bersyukur kerana menjadi warga sebuah negara yang dirahmati dengan pelbagai nikmat.

Perdana Menteri berkata dengan penuh kesyukuran, umat Islam dituntut untuk memanfaatkan sebaik-baiknya segala kurnian Allah swt bagi mencari kejayaan di dunia dan di akhirat.

"Janganlah sekali-kali kita bersifat kufur nikmat atau mengambil mudah tanggungjawab kita selaku hamba dan Khalifah-Nya di muka bumi. Umat Islam perlu memelihara diri mereka daripada melakukan kerosakan yang boleh membawa kepada kelemahan, kehinaan dan akhirnya kemusnahan umat secara keseluruhan,"

Najib berkata kini sudah tiba masanya untuk kerajaan melaksanakan segala dasar, inisiatif dan program yang telah dirancang, dengan semua pihak harus memainkan peranan masing-masing untuk memastikan segala rancangan akan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan rakyat.

"Untuk itu, iltizam, kerjasama dan pengorbanan semua pihak di pelbagai peringkat adalah amat penting," katanya.

Perdana Menteri turut menyarankan rakyat Malaysia supaya sentiasa berusaha meringankan penderitaan golongan kurang bernasib baik, bukan sahaja dengan mengagihkan daging korban tetapi juga bersedekah mengikut kemampuan.

Najib berkata sempena sambutan Aidiladha ini, umat Islam perlu mengambil iktibar daripada contoh keimanan dan pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s di dalam melaksanakan perintah Allah swt.

"Jika manifestasi keimanan dan kesanggupan berkorban tersebut berjaya diteladani umat Islam hari ini, maka kita akan berada pada landasan betul untuk muncul sebagai umat yang mulia dan dihormati sesuai dengan kedudukan umat Islam sebagai umat contoh.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...