Search This Blog

Saturday, 6 November 2010

Fatini mahu karyawan seni jujur persembah kisah sejarah Natrah


Penulis buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Airmata, Datin Seri Fatini Yaacob meminta karyawan seni agar lebih jujur dalam mempersembahkan kisah sejarah gadis berketurunan Belanda itu.

Beliau yang merupakan pengkaji sejarah Natrah sejak 20 tahun lalu berkata, Natrah bukan sekadar kisah cinta tidak kesampaian tetapi merupakan sejarah kebangkitan terbesar penduduk Tanah Melayu dan pengorbanan nyawa mereka untuk membebaskan agama dan tanah air.

Menurut beliau, elemen penting tersebut perlu ditonjolkan dalam mana-mana karya seni berkaitan Natrah kerana kebangkitan rakyat ketika itu yang dipanggil Rusuhan Natrah 1950 oleh penjajah mempunyai nilai paling bermakna kepada semangat penyatuan bangsa Malaysia.

Beliau berkata, penyatuan luar biasa itu dapat dilihat apabila orang Melayu yang mempertahankan maruah Islam dan tanah air semasa kejadian turut mendapat bantuan kaum lain termasuk Cina, India dan Serani.

"Bagi saya, elemen inilah yang perlu menjadi nilai pokok untuk dipersembahkan dalam sejarah Natrah sama ada dalam bentuk teater, drama, filem, animasi dan sebagainya.

"Nilai ini bagi saya jauh lebih penting dan hebat daripada kisah hidup dan cinta tidak kesampaian Natrah dan Mansur Adabi (bekas suaminya). Ia perlu dikisahkan semula supaya generasi muda dapat menghargai dan mendapat kekuatan semangat daripadanya," katanya ketika ditemui di kediamannya semalam.

Fatini menjelaskan, dengan menidakkan elemen penting dalam sejarah Natrah, penghasilan kisah tersebut boleh disifatkan sebagai mensesiakan peluang yang bernilai untuk mengalirkan semangat pembelaan terhadap agama ketika umat Islam dihina dan dibunuh dengan kejam termasuk di Bosnia dan Palestin selain dicemuh dalam Internet, akhbar dan filem asing.

Tanpa nilai itu, tegasnya, naskhah Natrah boleh disifatkan sebagai kerja seni yang merugikan Islam pada saat semangat yang kuat diperlukan untuk membela agama itu yang teruk dizalimi dan dipersenda seperti sekarang.

"Semangat membela Islam yang saya bawa melalui sejarah Natrah ini bagaimanapun tidak boleh disalah tafsir sebagai semangat untuk menjadi perusuh atau pengganas, tetapi semangat untuk menyatakan kebenaran, dengan keadaan aman dan perbincangan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, perbuatan membesarkan agama lain iaitu Kristian dengan menunjukkan lambang patung Virgin Mary dan salib yang besar serta pintu gereja berwarna-warni tidak sepatutnya berlaku dalam karya yang mengaitkan Natrah.

Ini kerana, katanya, Natrah sendiri sebenarnya tidak menganut mana-mana agama selepas beliau berusia 17 tahun hinggakan ketika saat kematiannya pun wanita itu tidak mahu dikebumikan mungkin bagi mengelak perebutan mayatnya oleh dua agama besar itu.

"Jadi di sini, saya ingin bangkit mempersoalkan bagaimanakah kita semua termasuk karyawan seni melayan sejarah Natrah sebagai seorang Islam yang jujur?

"Sekiranya kita tidak jujur dan tidak besarkan agama kita dalam isu Natrah, siapakah yang kita harapkan untuk berbuat demikian? Mengapa kita memberi kesempatan untuk hebatkan agama lain pada saat kita lebih perlu dibela dan generasi muda memerlukan bimbingan daripada sejarah masa lalu kita?," soalnya.

Beliau memberitahu, golongan karyawan seni adalah pemimpin dalam karyanya.

Oleh itu, katanya, gunakanlah kesempatan itu untuk menyampaikan karya benar dan membawa kebaikan dalam mempersembahkan Natrah, bukan memberi sesuatu mengelirukan serta tidak membawa faedah kepada masa depan agama.

"Saya bercakap begini kerana sejarah Natrah adalah peringatan untuk orang Melayu memartabatkan Islam, bukan memperkecilkan atau memperlecehkan Islam," katanya.

Kata Fatini, orang ramai yang berminat membaca buku tulisan beliau boleh mendapatkannya di kedai buku MPH atau memesan secara dalam talian di Penerbit UTM.Press.com pada harga RM75 untuk kulit nipis atau RM99 kulit tebal.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...